Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Sunday, 28 September 2014

MOH MENGACAU PENGANAN SEMPENA SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA 2014

PROGRAM "MOH MENGACAU PENGANAN" SEMPENA SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA


28 September 2014 -Penduduk Kampung Bukit Laka bersama dengan JKKK Kg. Bukit Laka telah menganjurkan program “ Moh Mengacau Peganan” sempena sambutan Aidiladha 2014. Program ini telah diadakan di Surau Tuan Haji Abdul Kudus , Kampung Bukit Laka.

Program ini salah satu acara yang telah dirancang bagi tujuan untuk mengeratkan hubungan kemasyarakatan penduduk kampung disamping memelihara makanan tradisonal melayu. 

Sebanyak 6 kawah dodol yang di buat pada hari tersebut. Menariknya kali ini penduduk kampung sepakat membawa bahan-bahan mentah seperti santan  dan beras dari rumah masing-masing. 

Selain itu juga bahan masakan untuk makan tengahari juga dibawa oleh penduduk dan dimasak secara bergotong royong. Menu makan tengahari pada hari tersebut juga cukup menyelerakan Nasi Putih, Gulai Keladi, Terung Telunjuk Goreng Cili Api,Goreng Kangkung,  Ikan Masin. 

Pada hari tersebut juga telah diagihkan dodol kepada setiap rumah di Kampung Bukit Laka ibarat kata "Sedikit Sama Dirasa". 
Tok Ketuo turut sama mengacau penganan


Kasihatan bukan penghalang

Usia kecil tapi semangat besar inilah yang perlu kita terapkan pada generasi akan datang.


Add caption


Bergaul mesra sesama penduduk

Kaum ibu juga tidak melepaskan peluang untuk menyumbang tenaga






Tuesday, 16 September 2014

EKSPEDISI MENDAKI BUKIT ULAR SEMPENA HARI MALAYSIA, BAHAU, NEGERI SEMBILAN


EKSPEDISI MENDAKI BUKIT ULAR SEMPENA HARI MALAYSIA, BAHAU, NEGERI SEMBILAN

Sempena Cuti hari Malaysia 16 September 2014 JKKK Kg. Bukit Laka telah mengambil kesempatan untuk mengadakan Ekspedisi Mendaki Bukit Ular Hari Malaysia”, program ini memberi peluang kepada penduduk Kampung Bukit Laka dan sekitar Kampung Bukit Laka untuk menikmati panaroma keindahan alam dari puncak Bukit Ular yang terdpat di dalam Kawasan JKKK Kg. Bukit Laka sendiri.

Bukit Ular merupakan tempat aktiviti sukan luncur udara peringkat antarabangsa, 4x4 dan motocros. Tujuan program ini diakan untuk melahirkan gaya hidup yang sihat dan juga melahirkan semangat patriotisma bersesuai dengan Hari kemerdekaan dan juga Hari Malaysia yang disambut oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sambutan adalah diluar jangkaan, 60 peserta telah terlibat dalam pendakian ini yang terdiri daripada kanak-kanak berusia 7 tahun dan warga emas berusia 57 tahun. Terdapat juga penyertaan dariapada pensyarah dan pelajar Kolej Komuniti Jempol. Semua peserta menerima sijil penyertaan.


Pada hari tersebut juga Pengerusi JKKK Kg. Bukit Laka En. Abu Zarin Bin Bahali telah menyerahkan bendera kepada semua peserta dan ketua ekspedisi En. Syafiq Bin Izrai. Alhamdulilah semua peserta selamat sampai di puncak Bukit Ular pada jam 10.20 pagi. Pendakian mengambil masa lebih kurang 40 minit. Diatas puncak tersebut semua peserta bersemangat menyanyikan lagu Nagaruku dan memacakkan bendera Malaysia.




Wednesday, 10 September 2014

PERTANDINGAN ANUGERAH DESA SEJAHTERA 1 MALAYSIA

PERTANDINGAN ANUGERAH DESA SEJAHTERA 1 MALAYSIA PERINGKAT NEGERI NEGERI SEMBILAN.

Sejarah telah terlakar buat Kampung Bukit Laka, adalah penyertaan kali pertama dalam pertandingan Anugerah Desa Sejahtera 1 Malaysia (ADS1M) tetapi telah berjaya melayakkan diri untuk keperingkat negeri.

Amalan kerjasama dan saling membantu yang sentiasa dipupuk dalam kehidupan bermasyarakat menjadi resepi utama kepada kejayaan Kampung Bukit Laka.

Pada 09 September 2014 Kampung Bukit Laka telah dihadiri oleh barisan panel juri ADS1M dari peringkat negeri Negeri Sembilan, 9 orang juri telah mengadili pertandingan ini.


Tiada kata yang boleh kami ungkapan selain “Kami bangga dan gembira dengan pencapaian kampung kami dan inilah hasil dari kemuafakatan masyarakat Kampung Bukit laka dan barisan kepimpinan JKKK Kg. Bukit Laka.” Harapan kami semoga Kampung Bukit Laka terus melakarkan sejarah yang lebih gemilang dimasa hadapan.

Pada tersebut juga terlakar sejarah buat Kampung Bukit Laka kerana pada hari tersebut telah merasmikan bendera JKKK Kg. Bukit Laka. Disamping itu juga hadiah berupa berangan elektrik telah disampaikan oleh Pengerusi JKKK Kg. Bukit Laka kepada pemenang pertandingan "Rumah Ku Patriotik" sempena hari kemerdekaan yang lalu.

Program ini telah mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak, JKKK Kg. Bukit Laka merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh penduduk Kampung Bukit Laka dan taman-taman perumahan yang berada dalam Kg. Bukit Laka, terima kasih kepad Majlis Daerah Jempol, Pejabat Tanah Dan Daerah Daerah Jempol, Jabatan Penjara Malaysia, Parol Cawangan Daerah Jempol, RELA, Balai Polis Batu Kikir, IPD Jempol dan semua yang terlibat kepada secara langsung atau pun tidak.



Tuesday, 9 September 2014

Persediaan Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia



08  Sept. - Komitmen jitu yang ditunjukkan penduduk Kampung Bukit Laka melayakkan kampung ini dipilih untuk bertanding ke peringkat Negeri Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung itu, En. Abu Zarin Bin Bahali, ini kali pertama kampung ini menyertai pertandingan Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia.
"Saya sendiri tidak menyangka juri akan memilih kampung ini untuk bertanding ke peringkat Negeri dan ini adalah hasil kerjasama seluruh penduduk kampung dan komitment barisan kepimpinan JKKK Kg. Bukit Laka dan ini merupakan satu pencapaian yang agak membanggakan kita semua”.

Pengerusi JKKK Kg. Bukit Laka berkata, antara aktiviti utama yang diberi keutamaan penduduk kampung itu adalah projek peningkatan ekonomi, selain aktiviti keagamaan, pendidikan dan sosial melibatkan semua golongan.

"Tugas berat menanti kami nanti dan berharap kejayaan menjadi pemangkin kepada penduduk kampung ini untuk terus berusaha dalam mengharumkan lagi nama Kampung Bukit Laka,"




Friday, 29 August 2014

KURSUS MEMBUAT TARLET

29 Ogos 2014 JKKK Kg. Bukit Laka telah mengadakan Kursus Membuat Tarlet bertempat di Pekarangan Surau Tuan Haji Abdul Kudus, Kg. Bukit Laka. Kursus ini merupakan jaringan bersama pihak JKKK Kg. Bukit Laka dan  pihak Kolej Komuniti Jempol.  Penyertaan yang diterima sangat menggalakan.






Tuesday, 26 August 2014

KUNJUNGAN SYAWAL

26 OGOS – Sepanjang bulan Syawal tahun ini, JKKK Kg Bukit Laka telah mengajurkan Program Kunjungan Syawal, program ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan dengan penduduk setempat disamping mengwujudkan kembali amalan kunjung mengunjugi yang semakin pupus dikalangan masyarkat hari ini.  Dalam program ini pihak barisan JKKK dan penduduk akan mengunjungi rumah penduduk kampung secara beramai-ramai. Keseronokan dan kemeriahan amatlah dirasai.


Tuesday, 15 July 2014

TADARUS AL-QURAN

15 Julai – JKKK Kg Bukit Laka dan AJK Surau Tuan haji Abdul Kudus, Kampung Bukit Laka   ini telah menganjurkan tadarus Al-Quran sepajang bulan Ramadhan 1435. JKKK Kg. Bukit Laka mengambil inisiatif menganjurkan majlis ini dengan harapan ianya dapat membentuk dan melahirkan rasa cinta terhadap Al-Quran.


Saturday, 12 July 2014

Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan

Sempena bulan ramadhan yang mulia ini pihak JKKK Kampung Bukit Laka telah mengadakan majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada penduduk Kampung Bukit Laka. Majlis tersebut telah diadakan pada 12 Julai 2014 di Surau Kampung Bukit Laka.

Bagi menjayakan majlis tersebut Tuan Pengerusi JKKK Kamoung Bukit Laka telah bermurah hati menyumbangkan seekor kambing untuk di jadikan hidangan pada majlis tersebut. Gotong-royong memasak telah dilakukan dengan kerjasama dari seluruh ahli jawatankuasa JKKK Kampung Bukit Laka bersama penduduk kampung.Bagi mengeratkan lagi tali silaturahim di kalangan penduduk telah menjadi tradisi untuk penduduk membawa makanan dari rumah untuk di kongsi bersama ketika majlis berbuka puasa tersebut.


Seramai 150 orang penduduk kampung telah hadir bagi menjayakan majlis ini. Majlis dimulakan dengan ucapan dari ketua kampung yang juga merupakan pengerusi JKKK.Majlis diteruskan dengan jamuan berbuka puasa dan solat maghrib berjemaah.


Sunday, 29 June 2014

Sambutan Bulan Ramadhan Al-Mubarak1435 & Majlis Penghakiman Pertandingan Desa Sejatera 1Malaysia Kampung Bukit Laka

26 JUN 2014, Seramai lebih kurang dari 150 penduduk Kampung Bukit Laka telah bersama-sama bergotong-royong menyediakan lemang dan rendang serta pelbagai juadah untuk dinikmati bersama-sama, program sambutan ini merupakan agenda tahunan JKKK Kg. Bukit Laka yang diadakan di Surau Kampung Bukit Laka, program ini dianjurkan oleh JKKK. Kg. Bukit Laka bersama-sama dengan AJK Surau Kg. Bukit Laka. Gerak kerja bermula dengan bermesyuarat untuk pembahagian tugas seperti mencari buluh, daun pisang dan membeli perkakas masakan. Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim diantara penduduk.






Pengisian program ini telah dimulakan dengan bacaan selawat oleh penduduk Kampung Bukit Laka. Pada tahun ini terdapat sedikit perbezaan daripada tahun-tahun sebelum ini kerana pada hari ini Kampung Bukit Laka akan dihadiri oleh para juri Pertandingan Desa Sejahtera 1Malaysia diketuai oleh En. Nazri Bin Yunus daripada Pejabat Tanah Daerah Jempol sebagi ketua juri dan wakil juri daripada, Majlis Daerah Jempol, Pejabat Kesihatan Jempol, Giat Mara Daerah Jempol, KEMAS Daerah Jempol, Pejabat Agama Islam Daerah Jempol, Pejabat Pertanian Daerah Jempol , MARA Daerah Jempol, dan Pejabat Penerangan Daerah Jempol.

Tahun ini merupakan sejarah bagi Kampung Bukit Laka kerana telah berjaya memasuki pertandingan Desa Sejahtera 1Malaysia buat julung kalinya dan sekali lagi sejarah terlakar, apabila Kampung Bukit Laka berjaya melayakkan diri diantara 9 kampung terbaik di Daerah Jempol, pertandingan telah melibatkan kampung-kampung dan felda-felda disekitar Daerah Jempol. Kejayaan ini merupakan pemangkin kepada Pengerusi JKKK Kampung Bukit Laka dan barisan kepimpinan serta penduduk Kampung Bukit Laka untuk meningkatkan lagi daya usaha untuk mengharumkan lagi nama Kampung Bukit Laka.

Monday, 23 June 2014

AKTIVITI MEMBERSIHKAN TANAH PEKUBURAN KAMPUNG BUKIT LAKA

22 Jun 2014 Ahad, Aktiviti gotong-royong bukan sahaja menyemai semangat kerjasama tetapi juga mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan penduduk di sesebuah kawasan.
Menyedari kepentingannya, JKKK Kg. Bukit Laka berkerjasama dengan AJK Surau Kg. Bukit Laka mengambil inisiatif untuk menghidupkan budaya itu semula.

Selain masyarakat setempat, gotong-royong tersebut turut melibatkan ahli kariah surau dan penduduk berhampiran Kampung Bukit Laka.
Aktiviti gotong-royong membersihkan tanah kubur itu merupakan antara salah satu program yang dilakukan bagi meraikan bulan Ramadan yang bakal tiba.

 Pengerusi JKK Kg. Bukit Laka,  En. Abu Zarin Bin Bahali berkata, program itu mendapat sambutan yang baik terutama daripada penduduk sekitar dan ahli kariah Kampung Bukit Laka.

Sunday, 22 June 2014

GOTONG-ROYONG MEMBERSIHKAN DAN MENGINDAHKAN KAMPUNG BUKIT LAKA

21hb Jun 2014 SABTUKebersihan adalah satu perkara yang amat dititik beratkan didalam Islam. Bertetapan dengan itu JKKK Kg. Bukit Laka telah mengadakan satu gotong-royong membersihkan dan mengindahkan Kampung Bukit Laka. Juga turut dibersihkan kawasan parit yang berada disekitar JKKK Kg. Bukit Laka. Program yang dinamakan Kesedaran Alam Sekitar Kampung Bukit Laka ini turut disertai oleh penduduk Kampung Bukit Laka.


Menurut Setiausaha JKKK Bukit Laka En. Mohd Rashid, Program gotong -royong ini bermula pada 8.00 hingga 1.00 tengahari.
Gotong-royong yang diadakan kali ini turut dihadiri oleh para penduduk Kampung Bukit Laka.". Dalam pada itu beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh penduduk Kampung Bukit Laka kerana sentiasa memberikan sokongan kepada program. 


Kerja-kerja mengindahkan Kampung Bukit Laka


Semoga program seperti ini akan berterusan di laksanakan.JKKK Kg. Bukit Laka berharap penduduk  akan sentiasa menyokong setiap program yang akan membawa kebaikkan untuk semua.

Lagi gambar klik 

Monday, 9 June 2014

KORBAN PERDANA 2013

Bahau, 22 Okt 13 – Bersempena sambutan Hari raya Aidiladha, JKKK Kg. Bukit Laka dengan kerjasama AJK Surau Kg. Bukit Laka telah menganjurkan program Korban Perdana. Program ini telah mendapat kerjasama penduduk setempat dan sekitar Kg. Bukit Laka. Melalui majlis yang julung kali diadakan ini, 6 ekor lembu telah dikorbankan bagi disumbangkan kepada penduduk kampung.

Program ibadah korban ini diadakan dengan satu matlamat iaitu untuk menghayati erti pengorbanan sebenar dalam kalangan masyarakat.
Semangat perpaduan dan kerjasama erat dalam kalangan masyarakat tergambar ketika ibadah ini dijalankan.

Semoga ibadah tersebut mendapat keredaan daripada Allah SWT dan tercapai hasrat dengan mengagihkan daging korban kepada mereka yang berhak dan memerlukan.
Pada majlis tersebut juga telah diadakan bacaan doa selamat dan bacaan tahlil.
Semoga kerja-kerja amal seperti ini mendapat keredaan daripada Allah SWT.

Thursday, 5 June 2014

Badminton silaturahim

Bahau: Buat pertama kali selepas enam tahun penubuhan Jawatankuasa Keselamatan dan Kampung (JKKK) Bukit Laka, Bahau, satu kejohanan badminton untuk penduduk kampung diadakan di Dewan Yayasan Bakti, Batu Kikir, baru-baru ini.

Sebanyak 88 penyertaan diterima bagi empat kategori iaitu perseorangan lelaki terbuka, beregu terbuka lelaki, beregu lelaki veteran dan beregu wanita.
Pengerusi JKKK Bukit Laka, Abu Zarin Bahali berkata, pertandingan diadakan bagi mengeratkan silaturahim penduduk.
Katanya sejak JKKK ditubukan, beliau berhasrat melihat hubungan penduduk kampung dieratkan dengan aktiviti seumpama itu.
“Walaupun tidak menyediakan hadiah wang tunai, penyertaan diterima membuktikan wang bukanlah segala-galanya.
“Lebih menarik penyertaan dari kalangan penduduk tiga taman perumahan yang bernaung di bawah JKKK Bukit Laka iaitu Taman Saga, Delima dan Kepayang,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Belia kampung itu, Mohd Shafiq Izrai berkata, pihaknya merancang kejohanan berskala besar pada masa depan berikutan sambutan hebat penduduk.
“Untuk kejohanan kali pertama ini, kami terima penyertaan dari usia sembilan hingga 54 tahun sekali gus membuktikan sukan badminton disukai ramai.
“Walaupun tiada hadiah menarik disediakan, peserta kelihatan cukup seronok dapat bertemu dengan rakan sekampung berikutan kesibukan tugas masing-masing,” katanya.

Sementara itu, juara perseorangan lelaki terbuka dimenangi Bushri Md Udin, 42 manakala kategori beregu lelaki disandang Muhammad Hafiz Muhammad, 31, dan Muhammad Hakimi Jasni, 28.

Bagi kategori beregu veteran, juara milik pasangan Muhammad Rashid Muhammad Shariff, 49, dan Azman Khamis, 56, manakala beregu wanita dimenangi, Alyaa Najwa Jafri,10, dan Noranida Muhammad Arith, 43.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01kredit to:-Harian metro